Khamis, 16 Oktober 2025

Emas Gold Bar Lagi Murah Dari Perhiasan. Betul Ke?

“Cikgu, ada beza tak beli emas dalam bentuk bar dengan barang kemas? Bar lebih murah ke sebab tak ada upah untuk tukang emas?”

Baru tadi saya terima soalan ini di ruangan komen Facebook. 

Ramai fikir emas bar langsung tak ada kos upah, tapi sebenarnya emas bar juga ada upah, cuma nilainya lebih rendah berbanding barang kemas. 

Jadi, beza utamanya bukan pada wujud atau tidaknya upah, tapi pada berapa banyak upah yang dikenakan dan tujuan pembelian emas itu sendiri.

Emas dalam bentuk bar biasanya dibeli oleh mereka yang nak jadikan emas sebagai simpanan atau pelaburan jangka panjang. 

Emas bar tidak direka untuk dipakai, jadi rekaannya ringkas dan kos pembuatannya lebih rendah. Sebab itu harga per gram emas bar selalunya lebih murah berbanding barang kemas. 

Namun, tetap ada sedikit caj tambahan, sama ada dipanggil “upah”, “premium”, atau “minting fee”. Ini kerana ada kos untuk proses pengeluaran, pembungkusan, dan pensijilan ketulenan emas tersebut.

Kelebihan emas bar ialah nilainya lebih dekat dengan harga emas semasa (spot price) dan mudah dinilai. 

Cuma, bila nak jual balik, sesetengah kedai hanya terima jenama tertentu, jadi penting untuk beli daripada pengeluar yang dikenali dan mudah dicairkan semula. 

Sementara itu, barang kemas pula lebih kepada gabungan antara aset dan aksesori. Ia boleh dipakai untuk bergaya, tetapi dalam masa sama tetap menyimpan nilai. 

Cuma, kerana ia melibatkan rekaan, ukiran dan kerja tangan tukang emas, kos upahnya jauh lebih tinggi. Bila nak jual semula, harga upah tu tak akan dikira semula dan kedai cuma bayar mengikut berat dan ketulenan emas sahaja.

Namun, kelebihan barang kemas ialah ia lebih mudah dijual di mana-mana kedai emas, dan boleh digunakan bila perlu tanpa rasa “sayang” sebab memang direka untuk dipakai.

Jadi, mana satu lebih baik? Jawapan sebenarnya bergantung pada tujuan anda beli emas. 

Kalau matlamat utama ialah untuk pelaburan dan simpan nilai, emas bar lebih sesuai sebab harganya lebih hampir dengan nilai sebenar emas di pasaran. 

Tapi kalau nak pakai sambil menyimpan nilai, barang kemas tetap pilihan yang bijak, terutama bagi wanita.

Ramai penyimpan emas yang bijak buat dua-dua iaitu simpan emas bar untuk pelaburan, dan beli barang kemas untuk gaya serta kecemasan.

Hakikatnya, emas tetap emas, tak kira bentuk apa pun. Bezanya cuma pada fungsi dan cara kita guna. Yang paling penting, mula simpan dulu. Sebab harga emas tak pernah tunggu sesiapa. 

#KayaDenganEmas #NotaCikguRidwan

Tiada ulasan:

Kenapa Harga Emas Public Gold Tak Serendah Emas di Bank?

Mengikut pembacaan saya di blog Guru Emas tulisan En. Mohd Zulkifli Shafie, ada beberapa sebab penting kenapa harga emas di Public Gold (PG)...